PUTRAJAYA: Usaha menjayakan dan menzahirkan Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara teratas di tangga dunia dalam ekonomi, kesejahteraan rakyat serta inovasi pada 2050 nanti, bergantung kepada tindakan rakyat Malaysia itu sendiri.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata aspirasi dua juta belia menerusi Kanvas Belia Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang mempunyai enam tema merentasi semua bidang berfokus, jelas menunjukkan harapan belia mengenai asas kepada Malaysia dan ciri perlu ada pada negara menjelang 2050.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin berkata, untuk melihat sama ada keenam-enam tema berkenaan dan ciri diperincikan dapat dilaksanakan, dicapai atau tidak, ia bergantung kepada rakyat Malaysia sendiri.

“Enam tema itu – global, kesaksamaan, mampan, bersatu padu, bertanggungjawab dan prihatin akan menjadi input penting bagi mempersiapkan Malaysia untuk berhadapan dengan perubahan domestik dan global yang akan mengubah wajah negara.

“Hakikatnya, kerajaan boleh dan akan sediakan perancangan ke arah itu bagi membawa Malaysia kepada sasaran, tetapi jika rakyat Malaysia tidak mahukannya, tidak berusaha ke arah mencapainya, tidak mahu jadi rakyat penyayang, tidak peduli dengan orang lain dan terus dengan tindakan serta perangai hari ini, kita tidak akan mencapai aspirasi TN50.

Kagumi orang muda

“Keenam-enam tema itu penting sebab ia asas kepada negara yang akan kita bina 30 tahun akan datang dan aspirasi serta idea tersebut datang dari generasi muda,” katanya.

Khairy Jamaluddin berkata, hakikatnya cabaran utama pada masa hadapan bagi memenuhi enam tema utama yang diterjemahkan ke dalam TN50 adalah rakyat Malaysia sebab dari segi modal insan, kita masih lagi belum bersedia dan banyak kekurangan untuk mencapai aspirasi dinyatakan.

“Saya mendampingi dua juta rakyat Malaysia tetapi ada 30 juta lagi yang saya tidak pasti, sama ada mereka mempunyai aspirasi yang sama atau tidak.

“Namun, saya begitu mengagumi orang muda dan mereka memberikan saya harapan.

“Mereka sudah kemukakan idea dan memberi harapan tinggi bahawa kita dapat menjadi 20 negara teratas pada peringkat dunia,” katanya.

Khairy Jamaluddin turut memuji cara pemikiran generasi muda yang sentiasa berpandangan ke hadapan dan begitu menghargai alam sekitar, meskipun mereka inginkan kemajuan pembangunan fizikal serta menyasar menjadi negara moden.

“Saya bangga kerana melalui dialog dengan orang muda, hampir semua dialog ada penekanan kepada kemampanan.

“Maksudnya, orang muda hari ini tidak berfikiran kapitalis zaman 1980-an dan 1990-an semata-mata.

“Mereka dengan jelas menyatakan pembangunan tidak boleh dilaksanakan jika mengabaikan alam sekitar. Bagi mereka, kemampanan dimaksudkan tidak mahu meninggalkan pada generasi akan datang hutang untuk dibayar.

“Hutang ini bukan hanya kewangan, tetapi hutang dari segi pencemaran alam sekitar, pembangunan tidak terkawal dan kawasan luar bandar yang hilang ciri-cirinya.

“Mereka mahu supaya pembangunan ini adalah lestari dan mampan serta tidak mahu menyerahkan kepada generasi akan datang, negara yang lebih teruk daripada diterima dan warisi.

“Malah mereka juga melihat kemampanan ini bukan sahaja dari segi pemuliharaan, tetapi juga melihat ia sebagai satu peluang ekonomi.

“Sebagai contoh, pada majlis penyerahan kanvas belia, ada yang mencadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagaimana kita peroleh serampang dua mata jika menjaga kebersihan lautan.

“Ia bukan sahaja mengekalkan alam sekitar, tetapi pada masa sama boleh membangunkan industri marin,” katanya.

Khairy Jamaluddin menegaskan, walaupun rumusan laporan akhir aspirasi belia bagi agenda TN50 diserahkan kepada Perdana Menteri pada 28 Februari lalu, ia mestilah sentiasa dikemaskini secara berkala berdasarkan perkembangan semasa terkini.

Katanya, tempoh 30 tahun agak panjang justeru banyak perubahan akan berlaku dari masa ke semasa seperti dari segi teknologi, inovasi dan sebagainya.

 

“TN50 perlu kepada pelaksanaan lebih teliti dari lazimnya. Jika kita ada satu matlamat pada 2050, contohnya kita akan jadi masyarakat tanpa tunai (cashless society) sepenuhnya pada 2050. Jadi kita kena tengok dari 2020 kepada 2030, berapa peratus yang kita capai hinggalah ke 2040 berapa peratus pula kita capai.

“Sebagai contoh, sistem pendidikan mungkin dalam tempoh 10 tahun sahaja, atau mungkin lebih cepat lagi, kita akan mula melihat wujudnya pekerjaan yang tidah kita bayangkan sebelum ini.

“Oleh itu, kita terpaksa buat per- ubahan yang perlu kepada sistem pendidikan negara, dengan mengambil kira perubahan yang diperlukan bagi memenuhi tuntutan pekerjaan baharu ini.

“Dalam peringkat pelaksanaan TN50 ini, perlu kepada pemantauan berterusan. Mungkin setiap lima tahun kita akan tengok apakah pencapaian kita dan kita lihat serta nilai juga perubahan yang berlaku,” katanya – berita harian