IPOH: Pemain pasukan bola sepak negeri ini diminta bermain bersungguh-sungguh dan mempamerkan aksi terbaik dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 antara Perak dan Johor Darul Ta’ zim (JDT) di Stadium Perak, esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, rakyat negeri ini menaruh harapan yang tinggi terhadap The Bos Gaurus (TBG) untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Saya ingin ingatkan pemain, rakyat letakkan harapan paling tinggi. Saya mahu mereka main bersungguh-sungguh, jangan tertekan dan tunjukkan kemahiran bermain dengan baik, jika mereka bersungguh-sungguh, saya yakin kita boleh peroleh kejayaan.

“Ini adalah harapan rakyat negeri ini, kita dapat saksikan kunjungan rakyat membeli tiket perlawanan cukup-cukup ramai, saya faham kesukaran dihadapai mereka terpaksa berpusu-pusu datang ke stadium dan itu menggambarkan semangat berkobar-kobar dikalangan penyokong,” katanya pada satu sidang media di sini pada Sabtu.

Dalam masa sama, beliau juga menasihati penyokong untuk menjaga disiplin dan adab ketika perlawanan itu berlangsung esok.

“Kita tunjukkan cara negeri Perak melayan tetamu, jaga tata-susila dan jangan melayan provokasi-provokasi yang dicetuskan.

“Kita tunjukkan bahawa bermain bola di Stadium Perak tidak kira sama ada mereka (pengunjung) dari Perak atau luar berada dalam keadaan selamat.

“Saya harap kita semua dapat turun beramai-ramai dan berikan sokongan serta semangat yang tidak berbelah bahagi kepada kepada pasukan bola sepak kita,” ujar beliau.

Dr Zambry turut berharap Perak akan memenangi perlawanan itu dengan skor 3-0 sekaligus memperoleh bekalan yang selesa untuk berkunjung ke Stadium Larkin, Johor Bahru untuk perlawan separuh akhir kedua nanti.