KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia perlu sentiasa komited menghadapi era Malaysia Baharu yang akan menjadi sebuah negara bertaraf dunia dari segi perpaduan, berintegriti, gemilang dan cemerlang.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Rakyat Malaysia disarankan untuk bijak dalam menganalisis apa-apa berita atau hebahan yang diperoleh daripada media sosial.

“Sebagai contoh, dalam tempoh dua bulan ini, adakan kempen secara besar-besaran untuk mengekang penyebaran berita palsu dan apa-apa yang berkaitan.

“Hari ini, ramai dalam kalangan masyarakat kita terperangkap dengan budaya ganas sehingga menyebabkan ahli masyarakat yang lain hidup dalam ketakutan dan kebencian terhadap bangsa serta agama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, kebanyakan masyarakat Melayu percaya mereka menghadapi ancaman sedia ada dan keadaan yang sama juga dihadapi kaum Cina dan India.

Menurutnya, isu sedemikian tidak sepatutnya berlaku dan beliau turut mempersoalkan pihak yang diancam dalam masyarakat, etnik dan budaya di negara ini.

“Orang Melayu dimomokkan bahawa mereka sudah kehilangan kuasa politik, hak, etnik, agama dan budaya mereka menghadapi ancaman sedia ada.

“Tetapi bukan hanya orang Melayu yang takut mereka menghadapi ancaman itu kerana kaum India dan kaum Cina juga takut hak, etnik dan budaya mereka menghadapi ancaman tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, terdapat harapan menerusi kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang menggesa kempen memboikot produk bukan Bumiputera dan bukan Islam dihentikan.

“Kegagalan kempen boikot adalah satu bukti bahawa media sosial tidak mewakili seluruh rakyat Malaysia yang lebih besar.

“Marilah kita merayakan Hari Kemerdekaan ke-62 hari ini dan Hari Malaysia ke-56 pada 16 September ini dengan sedar bahawa kita berada di tengah-tengah pertempuran untuk jiwa Malaysia,” katanya.