IPOH – Manifesto Barisan Nasional yang dilancarkan Perdana Menteri Sabtu bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) menjanjikan sesuatu buat semua rakyat.

Menurut beberapa orang awam yang ditemui rata-rata berpuas hati dengan manifesto yang merupakan Aku Janji yang akan dilaksanakan pemimpin BN sekiranya mendapat kembali mandat rakyat untuk memerintah semula negara selepas PRU-14.

Pengawal keselamatan Zamzuri Yahya, 64, berpendapat manifesto itu bersifat menyeluruh dan menjanjikan sesuatu bagi setiap golongan penduduk.

“Kita tahu BN sememangnya mengambil berat akan kesejahteraan rakyat negara ini apabila tiada golongan yang dipinggirkan.

“Pada saya keprihatinan BN untuk membuka peluang kepada pesara kerajaan dan anak-anak mereka untuk membeli unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia memberi peluang kepada golongan muda khususnya untuk membeli dan memiliki rumah sendiri,” katanya yang bekerja di Kem Pusat Latihan Khidmat Negara Terkok, Sungai Siput.

Manakala bagi generasi kedua FELDA Rohani Ismail, 53, berharap BN boleh menyediakan 3 juta peluang pekerjan kepada rakyat Malaysia seperti dalam manifesto agar boleh membantu rakyat lantaran ramai graduan universiti dan kolej yang menganggur sebab masa untuk membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Mudah-mudahan ia boleh kurangkan buruh asing seperti yang dijanjikan kerana mereka bukan mendatangkan kebaikan sangat banyak yang buruk dan mahu monopoli negara kita terutamanya dalam sektor pekerjaan.

“Yang paling seronok dengar bila Datuk Seri Najib umum nak naikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia. Sekarang bajet harian dah tinggi jadi kita memang perlukan duit untuk perbelanjan harian termasuk belanja sekolah anak,” kata surirumah itu.

Selain itu, lampu jalan di FELDA juga perlu ditambah kerana banyak tempat masih gelap contohnya di kawasan FELDA Lasah ini terutamanya selepas Hospital Sungai Siput menuju ke sini dan banyak kejadian kemalangan di kawasan tersebut, tambah beliau.

Sebagai seorang wanita berkerjaya, Veeraselvi Supramaniam, pegawai pengambilan di Jabil Circuit Sdn Bhd, beliau tertarik dengan manifesto untuk menggalakkan sektor swasta membenarkan ibu-ibu hamil pulang sejam lebih awal.

“Ia dapat membantu meningkatkan produktiviti kerana waktu bekerja telah disingkatkan.

“Ia dapat mengurangkan tahap tekanan khususnya bagi wanita hamil yang sudah berada dalam tahap akhir kandungan.

“Bagi saya tindakan kerajan mengutamakan ibu hamil adalah wajar kerana wanita merupakan sumbangan terbesar di dalam sesebuah organisasi dan turut memegang jawatan penting selain menjdi isteri dan ibu setelah pulang ke rumah,” katanya.