IPOH– Kerajaan negeri akan bertindak memecat ramai lagi pegawai kanan dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam tempoh terdekat.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu menegaskan tindakan ini diambil bagi menyelamatkan syarikat GLC berkenaan daripada terus menanggung kerugian.

“Saya tidak boleh berikan bilangan yang akan terlibat, ia bukan mudah kerana jika kita menukar pegawai pegawai ini, mereka mempunyai kontrak.

“Jika saya terburu-buru untuk mengambil tindakan menukar pegawai, ini akan menyulitkan kewangan syarikat juga dengan perlu membayar pampasan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis serahan RM 500,000 untuk Tabung Harapan oleh Unisem Group di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Selasa.

Baru-baru ini, Ahmad Faizal mengumumkan pemecatan tujuh pegawai eksekutif GLC ternama setelah berbelanja melebihi yang sepatutnya dan dianggap tidak masuk akal.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata pemecatan semua tujuh pegawai eksekutif itu dibuat susulan peletakkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat berkenaan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai sumbangan pada hari ini, Ahmad Faizal mengalu-alukan sumbangan itu sambil berharap supaya lebih ramai syarikat swasta tampil menyumbang kepada Tabung Harapan.

“Terima kasih kepada Unisem yang bukan hanya memberikan peluang pekerjaan begitu banyak kepada rakyat, tetapi juga menyumbang dari segi kewangan kepada negara,”katanya.