IPOH – Kesedaran pekerja terhadap hak mereka semakin meningkat apabila banyak aduan berkaitan tidak menerima slip gaji dan tiada kontrak perkhidmatan diterima Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Pengarah JTK negeri, Ahmad Khusairi Lope Abdul Rahman berkata kesedaran tinggi kalangan pekerja itu dikesan berikutan 950 aduan yang dikendalikan dalam enam bulan pertama tahun ini berkaitan dua perkara ini.

Menurutnya, daripada aduan itu 714 kes telah berjaya diselesaikan manakala selebihnya melibatkan majikan yang menghadapi masalah kewangan.

“Kebanyakan majikan memberi alasan tidak mengetahui peraturan yang ditetapkan kerajaan,” katanya kepada pemberita setelah mengadakan Operasi Pematuhan di lapan premis sekitar bandar raya Ipoh di sini hari ini.

Ahmad Khusairi berkata operasi  tersebut membabitkan 30 pegawai penguatkuasa JTK negeri itu manakala kertas siasatan dibuka untuk tindakan pendakwaan dan kompaun.

Dalam operasi itu, JTK juga berjaya mengesan majikan yang menggunakan pengiraan salah untuk pembayaran kerja lebih masa menyebabkan pekerja mendapat bayaran rendah daripada nilai sepatutnya.

Ahmad Khusairi juga berkata terdapat pekerja yang didapati bekerja sehingga mencecah 108 jam dengan gaji dibayar secara tunai sedangkan kerja lebih masa ditetapkan kerajaan adalah 104 jam.