IPOH – Tindakan kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baru, dikenali sebagai Akta Berita Palsu untuk membendung penularan maklumat tidak sahih mendapat reaksi positif daripada masyarakat.

Hasil tinjauan Suara Perak langkah kerajaan itu dialu-alukan apabila ramai yang bersetuju dengan peruntukan khas dan hukuman setimpal kepada mereka yang menyebarkan berita palsu.

Penularan berita palsu akhir-akhir ini semakin berleluasa khususnya di media sosial seperti Facebook, Twitter, dan applikasi WhatsApp. Masyarakat harus belajar untuk menapis dan menyelidik berita yang diterima sebelum disebarkan kepada kenalan melalui medium tersebut.

Bagi Camees Fong, beliau bersetuju dengan akta tersebut kerana berita palsu boleh mengancam kehidupan dan ketenteraman rakyat.

“Pada pendapat saya, sekiranya akta ini diwujudkan, ia akan memberi manfaat kepada semua masyarakat. Berita palsu ini seperti mewujudkan kecacauan dan salah faham di antara satu sama lain di dalam negara kita. Kita hanya mahu peristiwa dan berita yang betul,” katanya.

Sementara itu, pemilik AG Henna Art Services, Mohammad Shahir Abdu Hamid mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk memperkenalkan akta tersebut.

“Kalau boleh, akta tersebut terus dilaksanakan sebaik sahaja diluluskan sebagai undang-undang kerana seperti yang kita ketahui berita palsu ini merebak dengan pantas secara dalam talian lantaran mereka boleh bersembunyi di sebalik akaun palsu.

“Berita palsu ini sama seperti mesej berantai di mana berita yang tidak sahih dikongsi dan dihantar secara berterusan. sebagai contoh, baru-baru ini mengenai isu pekerja kerajaan mendapat rebat minyak (petrol) yang mana ia sebenarnya tidak wujud pun. Akan tetapi kerana ia berkaitan dengan ekonomi semasa, ramai yang kongsi dan hantar mesej itu kepada kawan-kawan mereka tanpa menyiasat dari mana sumber berita tersebut sama ada sahih atau tidak,” tambah beliau.

Penggaya rambut di Ipoh Barber And Comber, Rezza Shukor berharap hukuman yang setimpal akan dikenakan kepada penyebar berita palsu sekiranya akta itu diluluskan kelak.

Beliau juga meminta agar pihak kerajaan memberi lebih penekanan terhadap isu ini kerana di dalam zaman teknologi ini, sebarang maklumat akan lebih cepat tersebar dan menjadi tular.

Turut menyokong tindakan kerajaan, kakitangan PORT, Muhammad Yusri Muhamad Khair berpendapat dengan adanya Akta Berita Palsu, ia boleh menjadi peringatan dan amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak menularkan dan menyebarkan sebarang berita dan fitnah tanpa usul periksa.

“Ia dapat mendidik rakyat supaya lebih bersopan dan bertanggungjawab sebelum berkongsi sesuatu berita. Contohnya apabila membaca berita tular tentang artis yang didakwa meninggal dunia di Facebook, tetapi sebenarnya artis tersebut cuma sakit,” katanya.

Terma berita palsu mula-mula digunakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mentakrifkan berita-berita yang tidak berpihak kepadanya sebagai berita palsu.

Terdahulu, pada 30 Januari lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji undang-undang baru untuk membendung berita palsu yang boleh mengancam kestabilan politik, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Draf akhir akta baharu itu telah dibahaskan di Parlimen pada 5 Mac.