KESEMPITAN hidup menyebabkan 32 beranak terpaksa tinggal sebumbung dalam keadaan sempit dan tidak selesa di rumah di Kampung Banggol Petai Luar, Pendang.

Difahamkan, 32 penghuni itu terdiri daripada lima keluarga membabitkan 12 lelaki dan wanita dewasa serta 20 kanak-kanak berusia antara 13 tahun hingga 11 bulan.

Tinjauan wartawan NSTP hari ini mendapati rumah terbabit hanya mempunyai satu bilik tidur dan satu bilik air menyebabkan penghuni terpaksa berhimpit berikutan ruang tamu terpaksa dijadikan bilik ‘berdindingkan’ kain.

Muzaini Che Mustapa, 43, berkata rumah pusaka itu pada asalnya didiami arwah ayah dan ibunya serta lapan adik beradiknya.

Bagaimanapun, katanya, selepas dia dan adik-beradik lain berkahwin, masing-masing tidak mampu menyewa rumah lain menyebabkan mereka terpaksa tinggal sebumbung di rumah itu.

“Selepas ibu dan ayah meninggal dunia, kami masih tinggal sebumbung dalam keadaan rumah sempit dan tidak selesa ini.

“Setakat ini cuma dua adik sahaja yang berpindah keluar, manakala yang lain masih tinggal di sini bersama keluarga masing-masing termasuk adik bongsu yang belum berkahwin,” katanya.

Muzaini berkata, bagi memisahkan ruang antara keluarga di ruang tamu, mereka memasang tirai kain yang menjadi sempadan antara ‘bilik’.

“Saya akui keadaan sekarang memang tidak selesa, namun mungkin kerana sudah terbiasa kami boleh menyesuaikan diri dalam situasi ini.

“Dalam bab makan dan minum, suami masing-masing akan membeli keperluan dapur dan selalunya kami masak sekali sahaja bagi dimakan semua keluarga kecuali jika ada anak yang mahu makanan lain,” katanya.

Beliau berkata, ada ketika mereka kesempitan wang menyebabkan semua keluarga terpaksa makan nasi putih dan bawang goreng sahaja.

Katanya, setakat ini setiap keluarga ada mendapat bantuan bulanan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan bantuan itu diguna bagi keperluan sekolah anak sahaja.

Sementara itu, nasib lima keluarga berkenaan mendapat perhatian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pendang yang tampil menyerahkan bantuan segera RM300 bagi membeli barangan dapur.

Pegawai JKM Pendang, Syaffrey Ibrahim berkata, pihaknya akan membantu membaik pulih rumah berkenaan agar menjadi lebih selesa selain mempertimbangkan bantuan bulanan kepada keluarga yang memerlukan.

“Kami berharap dengan pendedahan kisah mereka ini dapat membuka mata masyarakat supaya membantu keluarga ini,” katanya – hmetro