PULAU PINANG : Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy pagi ini memberi keterangan kira-kira lima jam kepada dua pegawai Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung laporan polis yang dibuat penceramah bebas, Dr. Zakir Naik.

Proses itu berlangsung di pejabat beliau di tingkat 52, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini bermula kira-kira pukul 9.40 pagi tadi dan berakhir kira-kira pukul 1.15 petang.

Turut diambil keterangan berhubung siasatan kes sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, M. Satees iaitu kira-kira empat jam dan kedua-dua mereka ditemani peguam, Datuk N. Murali.

Sementara itu, Ramasamy yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada peguam dan menghormati siasatan yang dijalankan polis berhubung kes tersebut.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan pihaknya akan mengambil keterangan lima individu kerana membuat kenyataan yang menyebabkan keresahan dan kemarahan orang ramai terhadap Zakir.

Selain Ramasamy dan Satees, tiga yang lain ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan bekas duta Malaysia, Datuk Dennis Ignatius.

Siasatan itu dibuat ekoran terdapat laporan berkaitan isu Zakir yang didakwa meminta supaya kaum Cina keluar dari Malaysia dengan mendakwa bangsa India di Malaysia tidak menyokong Perdana Menteri.

Satu lagi laporan dibuat Zakir sendiri terhadap Ramasamy berhubung wawancara bersama majalah India Today serta artikel berbahasa Inggeri di sebuah portal bertajuk ‘Naik should not question loyalty of Hindus in Malaysia’.

Satees pula disiasat susulan artikelnya yang bertajuk ‘Lawmaker Fumes After Zakir Suggests Hindus Here Support Modi Over Dr. M’ yang disiarkan sebuah portal berita.

Difahamkan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan.