KUALA LUMPUR : Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy mahu membuat laporan polis terhadap pendakwah antarabangsa Dr. Zakir Naik dan firma guamannya, Akberdin & Co., kerana menuduh beliau cuba meraih populariti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Prai itu mendakwa, tuduhan itu dibuat menerusi notis guaman kedua pada 23 Ogos lalu dalam satu temu bual bersama organisasi berita dari India.

“Saya difitnah kali kedua oleh Zakir dan peguamnya. Bagaimanapun peguam saya di Pulau Pinang akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap beliau.

“Saya tidak akan ‘u-turn’ dalam hal ini dan akan berhadapan dengan beliau (Zakir) di mahkamah nanti,” katanya menerusi perkongsian status dalam Facebook miliknya hari ini.

Tambah Ramasamy, selain dituduh meraih populariti, beliau juga mendakwa difitnah menyalahgunakan kedudukan sebagai Timbalan Ketua Menteri II.

“Zakir menfitnah saya menggunakan jawatan tersebut sebagai orang menyokong perhimpunan protes terhadapnya yang dianjurkan di Brickfields, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu,” ujarnya.

Terdahulu firma Akberdin & Co., mengeluarkan notis tuntutan permohonan maaf terhadap Ramasamy apabila menfitnah anak guamnya, Zakir menghasut dan menimbulkan sensitiviti kaum dan agama dalam kalangan rakyat Malaysia.

Namun, Ramasamy enggan melayan tuntutan Zakir, malah dengan angkuh mengatakan perkataan maaf tiada dalam kamus hidupnya.

Beliau bagaimanapun dilihat berterusan menentang pendakwah kelahiran India itu apabila menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) berhubung status kedudukan Zakir di negara ini.

Malah, semalam Ramasamy mengkritik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menukar pendiriannya selepas Zakir membuat permohonan maaf secara terbuka.