KUALA LUMPUR : Bukit Aman mengarahkan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy, untuk memberi keterangan berhubung laporan kes tembakan di Rawang dalam sebuah portal berita baru-baru ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini Ramasamy berkata beliau menerima panggilan telefon daripada pegawai Jabatan Pendakwaan dan Undang-undang Bukit Aman pada 9 Okt lalu.

“Inspektor itu berkata mereka mahu menyoal saya berhubung laporan ditulis Kasthuri Jeevendran dan disiarkan Malaysian Gazette pada 17 Sept lalu,” katanya.

Menurut Adun Perai itu lagi, setiausaha sulitnya, Edreena Kaur, berhubung dengan pegawai polis terbabit dan menetapkan tarikh 21 Okt untuk Ramasamy berkunjung ke Bukit Aman.

Rencana yang dimaksudkan itu bertajuk “Kerajaan baharu tapi polis masih pada takuk ‘lama’ – Ramasamy” dan dibuat dengan merujuk kepada kejadian berbalas tembak di antara polis dan tiga suspek penjenayah di Batu Caves dan Batu Arang, Rawang.

Kejadian tersebut berlaku seminggu sebelum laporan berkenaan disiarkan.

Seorang daripada suspek terbabit – pemastautin tetap United Kingdom yang datang melawat Malaysia – mati ditembak, manakala isterinya menghilangkan diri.

“Ada terlalu banyak kes tembak membabitkan polis dan kematiannya dijelaskan hanya berdasarkan kenyataan dikeluarkan polis,” kata Ramasamy dalam hantarannya di Facebook.

Dalam tulisannya di Malaysiakini pada 20 Sept, Ramasamy menuduh polis menyalahgunakan kuasa dan bertindak serentak sebagai penguat kuasa, hakim dan penghukum.

“Tiada seorang pun boleh dianggap sebagai seorang penjenayah, kecuali selepas dibuktikan mahkamah.

“Kewujudan polis adalah untuk untuk memastikan rakyat mematuhi undang-undang.

“Jika mereka melanggar undang-undang, terserah kepada polis – melalui Jabatan Peguam Negara – untuk mendakwa mereka,” katanya.