GEORGETOWN: Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, tidak berganjak dengan pendiriannya yang mahu kerajaan menghapuskan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ramasamy berkata, beliau menghormati pandangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mempertahankan keperluan untuk mengekalkan akta itu, namun menegaskan ia sama sekali tidak selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang berjanji mahu menghapuskan SOSMA.

Beliau menjelaskan, pihaknya bukan mahu mempertikaikan tugas pihak polis dalam menahan pesalah, sebaliknya mahu mekanisme pelaksanaan undang-undang itu selaras dengan maruah seseorang individu terbabit.

“Tak apa, beliau (Dr Mahathir) tak marah saya cuma tak gembira saja. Itu pandangan Tun dan saya hormati beliau.

“Saya tak salahkan polis kerana mereka adalah satu agensi penting. Sepatutnya sesiapa yang ditangkap itu perlu dibawa ke mahkamah dan didakwa atas apa-apa jenayah yang mungkin dilakukan mereka dan bukannya penahanan tanpa perbicaraan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis dialog berkaitan penggunaan pengangkutan awam anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI), yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Semalam, Tun Mahathir dilaporkan berkata terpulang kepada Ramasamy untuk meluahkan rasa tidak puas terhadap tindakan kerajaan yang mempertahankan penggunaan SOSMA dalam penahanan individu yang didakwa ada kaitan dengan kumpulan pengganas Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE).

Beliau menegaskan, penggunaan SOSMA itu adalah perlu atas faktor keselamatan dan semua pihak perlu menerima hakikat bahawa polis terpaksa menggunakan akta terbabit kerana keadaan adalah berbeza.

Mengulas lanjut, Ramasamy berkata tindakannya yang memperjuangkan penghapusan SOSMA bukanlah bersifat rasis, sebaliknya mahu keadilan diberikan kepada semua tanpa mengira bangsa dan agama.

“Perkara ini dijadikan tumpuan kerana kita mahu Malaysia mendapat pengiktirafan dunia dalam hal hak asasi manusia, ini bukan soal agama tapi kesaksamaan kepada semua,” katanya.

-BH