IPOH– Kerajaan negeri sedang mencari jalan untuk merampas kembali tanah dari peneroka haram yang masih berdegil mengusahakan tanah-tanah milik Kerajaan dalam tempoh masa yang lama.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, terdapat juga peneroka haram yang berani menyaman kerajaan kerana berpendapat tanah yang diusahakan sekian lama itu sudah menjadi hak milik mereka.

“Kita akan teliti setiap kes mungkin ada yang sangat degil (peneroka haram) dan kumpulan yang boleh menganggu tugas penjawat awam apabila mereka nak ambil satu-satu tindakan.

“Sebelum ni pun kalau kita kuatkuasakan tindakan tapi akhirnya mereka akan kembali semula (teroka tanah) dan Kerajaan juga pastikan kita ada rancangan terus dengan diadakan ladang rakyat dan sebagainya.

“Mereka merasakan apabila menduduki tanah Kerajaan, mereka rasa itu hak mereka…tidak… ini sebenarnya merampas hak rakyat dan pelabur asing yang nak masuk ke negara ini susah, termasuk mencipta peluang kerja baru kerana masalah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Perasmian NGO-NGO Prihatin Perak sempena Ipoh Car Free Day pada Ahad.

Semalam Ahmad Faizal mendedahkan ada peneroka haram ‘korporat’ hidup mewah di luar negara dengan hasil dari pertanian berskala besar secara haram di Perak sekaligus menyebabkan kerajaan negeri hilang hasil pendapatan.

Rakyat tempatan turut menerima tempias kerana peneroka haram ini mengambil pendatang asing tanpa izin untuk bekerja di ladang-ladang mereka .

Ujarnya, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Setinggan dan Usaha Haram Negeri Perak pada 22 Januari lalu yang dianggotai oleh Pegawai -pegawai Daerah, GLC dan agensi Kerajaan berkaitan.

Menerusi mesyuarat pertama, 12 kes berkaitan peneroka haram dikenalpasti dan masih banyak kes pencerobohan tanah akan diselesaikan segara pada tahun ini.