JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua Johor merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggar bernilai RM7,000 di sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor Bahru, tengah malam kelmarin.

Dalam serbuan Ops Landai pada jam 12.05 tengah malam hasil intipan dan risikan PPM Pengerang itu, seorang lelaki berusia 41 tahun turut ditahan.

Komander PPM Wilayah Dua Johor, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang, berkata hasil tangkapan itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api di ruang tamu rumah berkenaan.

“Hasil risikan dan intipan operasi khas itu, kita berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api bernilai RM7,000 yang diletakkan di ruang tamu rumah lelaki berkenaan.

“Siasatan awal kita mendapati mercun dan bunga api itu dipercayai diseludup dari negara jiran dan untuk dipasarkan ke kawasan sekitar Ulu Tiram sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Khon Chiang berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali. – berita harian