IPOH – Polis Perak telah berjaya merampas dadah pelbagai jenis bernilai hampir RM128,000 dalam tiga serbuan berasingan di bandaraya ini dan Batu Gajah sejak Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatn Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Cahandran berkata, dalam serbuan yang dibuat dari Jumaat hingga pagi Ahad itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki yang dipercayai aktif terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Katanya dalam serbuan pertama di sebuah rumah kedai di Pusing, Batu Gajah pada Jumaat lalu, pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 55 tahun dan merampas sembilan paket plastik mengandungi dadah dipercayai heroin seberat 2.8 kilogram (kg) bernilai RM11,340.

“Dalam serbuan jam sekitar 10.30 malam ini kita dapati ujian suspek yang bekerja sebagai peniaga pasar malam positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Selasa.

Dalam serbuan kedua pula, beliau memberitahu pihaknya telah menahan seorang lelaki berusia 32 dan merampas dadah jenis serbuk ecstasy di dalam kenderaan dipandu suspek di Taman Desa Aman, di sini pada Sabtu.

“Dalam serbuan kedua pada jam 11.30 malam hari berikutnya pula pasukan JSJN dibantu Unit Peronda Polis (MPV) menahan sebuah kereta jenis PROTON Saga dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan dalam kereta menemui 80 paket plastik dipercayai dadah jenis serbuk ectasy seberat 821 gram,” ujarnya.

Ravi Chandran berkata, tangkapan ketiga ke atas seorang lelaki berusia 41 tahun pula dibuat di kawasan rumah kedai di Canning Estate, di sini sekitar jam 1 pagi kelmarin.

“Hasil pemeriksaan menemui 30 keping aluminium yang keseluruhannya mengandung 300 biji dadah jenis Eramin 5 dianggarkan bernilai RM4,500.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin dan mempunyai dua rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya.

Beliau berkata, semua nilai rampasan dadah bagi ketiga-tiga kes bernilai RM127,681 dan semua suspek direman tujuh hari hingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut.

Katanya, siasatan bagi ketiga-tiga kes dibuat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesemua tangkapan itu berjaya dibuat atas hasil risikan serta maklumat orang awam katanya Ketua Jabatan JSJ Perak itu.

“Secara keseluruhannya bagi tempoh Januari hingga Ahad lalu, polis telah merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM788,763 dan seramai 2,364 individu ditahan atas pelbagai keselahan dadah,” tambah beliau.