IPOH – Polis Kontinjen Perak mencatatkan nilai rampasan keseluruhan jenis dadah sebanyak RM12.4 juta pada tahun lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, jumlah itu adalah atas kejayaan rampasan dadah jenis syabu sebanyak 104kg, ketamin (1,460g) juga dadah tradisional iaitu ganja (77.4kg) dan heroin (43kg).

Menurutnya, jumlah itu adalah jauh lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan nilai pasaran RM4.9 juta.

“Terdapat peningkatan yang begitu ketara daripada tahun sebelumnya berikutan serbuan dan tangkapan yang kita lakukan.

“Walaupun kedudukan jenayah narkotik ini disifatkan terkawal, ia masih di tahap membimbangkan,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian indeks jenayah bagi tahun lalu menunjukkan penurunan 13.2 peratus iaitu pengurangan 520 kes kepada 5,326 kes berbanding 5,846 kes tahun sebelumnya.

Katanya, penurunan turut berlaku pada indeks jenayah kekerasan iaitu sebanyak 12.1 peratus dan melibatkan harta benda (8 peratus).

“Kes kecurian motosikal masih menjadi penyumbang jenayah utama iaitu 1,912 kes bersamaan 35.9 peratus daripada keseluruhan kes yang berlaku di negeri ini.

“Sementara daerah Ipoh kekal sebagai daerah tertinggi dengan 39.1 peratus jenayah berlaku di kawasan itu diikuti Manjung (30.7 peratus) dan Hilir Perak (10.5 peratus), lain-lain daerah hanya menunjukkan peratusan kecil,” katanya.

Terdahulu, Hasnan menyaksikan majlis serah terima tugas tiga pegawai kontinjen itu masing-masing dalam Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard serta Ketua Polis Daerah.

Timbalan Ketua JSJ (bahagian risikan dan operasi) Selangor, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman menerima dokumen serah terima tugas sebagai Ketua JSJ Perak menggantikan Datuk Gan Tian Kee yang melapor diri sebagai Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Jenayah Pemalsuan/Jenayah Komplot) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Bukit Aman.

Jawatan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard pula disandang Superintendan Mohd Azlan Sanusi menggantikan Superintendan Mohd Radzuan Bachik.

Jawatan Ketua Polis Daerah Taiping yang sebelum ini dipangku timbalannya, Superintendan Razlam Abd Hamid kini disandang Asisten Komisioner Mohamad Taib.

-Sinarharian