IPOH: Polis Perak telah berjaya merampas 180,000 biji dadah jenis pil kuda bernilai RM3.6 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Felda Gunung Besout 2, Sungkai pada Selasa lalu.

Pemangku Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata dalam operasi sekitar jam 2 pagi itu, pihaknya turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 36 tahun yang bekerja sebagai penyelia ladang serta peniaga di dalam rumah berkenaan.

“Kedua-dua suspek ditahan di dalam rumah tersebut ketika polis membuat serbuan dan hasil siasatan awal mendapati kedua-dua mereka bukan peneroka Felda itu.

“Pil-pil ini dijumpai disorok di dalam rumah berkenaan dan rampasan ini merupakan rampasan dadah jenis pil kuda yang terbesar di Perak sejak 6 tahun lalu,” katanya dalam satu sidang media khas di Ipoh pada Khamis.

Tambah beliau, serbuan yang dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim itu turut menemui dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat 8.70gram di dalam rumah sama.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau dan ujian urin kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis Amphetamine.

“Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengenal pasti lain-lain sindiket yang terlibat dengan suspek ini,” ujar beliau.

Kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957.