TROLAK: Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang mengkaji kemungkinan membangunkan kawasan seluas 400 hektar di Sungkai dekat sini sebagai satu lagi projek perumahan anggota dan veteran tentera.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri Perak bagi memastikan cadangan itu dapat dilaksanakan secara kerjasama kedua-dua pihak.

Menurut beliau, pihaknya sedia memasukkan kawasan berkenaan sebagai sebahagian daripada agenda perumahan Mindef yang dijangka diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, September ini.

“Mungkin melalui kerjasama dengan kerajaan negeri dan kita buat ni dengan kerajaan negeri Perak, contoh di mana tanah dibekalkan oleh kerajaan negeri untuk membantu mencari rumah-rumah yang mampu milik atau mampu sewa oleh anggota dan juga veteran-veteran kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Malim di MRSM Felda di sini pada Ahad.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Wanita, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Rusnah Kassim yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Malim.

Terdahulu, di dalam ucapannya, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, beliau telah meminta Rusnah untuk berbincang dengannya secepat mungkin agar perkara tersebut dapat dibawa kepada pengetahuan Perdana Menteri.

Menurut beliau, ketika ini memang terdapat keperluan untuk membangunkan projek perumahan keluarga anggota dan veteran tentera, sama ada dalam bentuk dijual sebagai rumah mampu milik atau rumah mampu sewa.

Buat masa ini, rumah mampu milik itu berjaya dilaksanakan di Kuala Lumpur dan Mutiara Rini di Johor manakala di Segari, Perak pula masih dalam peringkat pembinaan.

*gambar dari Twitter @H2OComms