GOPENG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merancang untuk menghidupkan semula peranan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Gopeng sebagai pasar pemborong utama di Perak.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata, satu jawatankuasa yang diketuai oleh Adun Teja, Sandrea Ng dan Adun Menglembu, Steven Chow Kam Foo telah ditubuhkan untuk mengenalpasti peluang dan potensi pemborong-pemborong sektor pertanian memulakan perniagaan di lokasi itu.

“Pada awalnya, RTC ini dijadikan sebagai tapak pemborong dan kita nampak lokasi ini berpotensi bagi tujuan itu dengan kemudahan lengkap terutamanya logistik apabila ia berhampiran dengan lebuh raya dan jalan persekutuan utama. Selepas perbincangan diadakan bersama wakil rakyat di sini, RTC sangat strategik dan kita cuba memajukan tempat ini sebagai tapak pemborongan dan pertanian.

“Kita tubuhkan satu jawatankuasa untuk bertemu dengan semua pihak termasuk pengguna bagi meninjau kesesuaian tempat ini kepada pemborong, apakah perubahan yang perlu dilakukan serta kemudahan bagi memajukan perniagaan mereka,” katanya dalam sidang media pada lawatan kerjanya ke Fruit, Flower and Food Fiesta 2018 di RTC Perak, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye dan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), Datuk Ahmad Ishak.

Tze Tzin berkata, pihaknya mahu pemborong mempertimbangkan potensi lokasi itu yang menawarkan keselesaan untuk terus berniaga.

“Kita tawarkan tempat selesa dan bagus bagi melonjakkan perniagaan mereka. Kita tidak ganggu tapi mahu melihat mereka maju ke depan bagi tempoh jangka panjang. Lokasi pasar pemborong di Sungai Pari, Ipoh ada kekangannya selain kawasannya yang kecil.

“Bagaimanapun, tiada paksaan terhadap mereka. Jawatankuasa ini memainkan peranan bertemu dengan semua pihak dan kita sedia menerima semua cadangan. Bagi kementerian, kita boleh usahakan insentif atau kemudahan untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, Tze Tzin berkata, pihaknya menawarkan kadar sewa minimum kepada peniaga-peniaga sebagai usaha merancakkan kembali RTC Gopeng.

“Saya nampak bahawa ada potensi untuk perbanyakan aktiviti perniagaan di sini. Hasil perbincangan bersama Fama,  kita sedia sewakan tempat ini untuk tarik semua jenis perniagaan.

“RTC Gopeng juga boleh dijadikan pilihan untuk mengadakan konvensyen atau pameran kerana ada kemudahan disediakan. Kita tawarkan ini kepada peniaga seluruh negara bagi membantu ekonomi negeri,” katanya – sinar