JEMPOL: Rangka yang ditemukan dalam tangki air di FELDA Palong 12 di sini pada 25 Mac lepas disahkan milik penuntut tahun akhir Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub, Pahang, Muhammad Aiman Hakim Mat Ani, 22.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim dalam kenyataan hari ini, berkata ia berdasarkan ujian asid deosiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap rangka berkenaan.

“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada keluarga mangsa. Ujian DNA memerlukan masa berikutan rangka yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna selain dipercayai sudah berada lama dalam tangki air,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pada 25 Mac lepas, rangka manusia ditemukan terapung dalam tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) di FELDA Palong 12 di sini, pada 11.30 pagi.

Muhammad Aiman Hakim merupakan penuntut tahun akhir Fakulti Sains Komputer dan Matematik UiTM Raub yang dilaporkan hilang pada 9 Julai tahun lalu.– BERNAMA