TAIPING – Polis berjaya menemui sebuah motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah rangka motosikal di kawasan semak samun berhampiran kebun sayur di Taman Ria, Simpang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 pagi Sabtu lalu, kedua-duanya ditemui oleh anggota dari Balai Polis Simpang yang sedang melakukan tugasan rondaan di kawasan terbabit.

Rangka motosikal yang ditemui di kawasan semak.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, semasa sedang melakukan rondaan, anggota bertugas menemui satu rangka motosikal bersama enjin dalam keadaan terbaring di dalam semak kebun sayur.

Menurutnya, setelah itu, pemeriksaan lanjut turut dilakukan di kawasan sekitar berhampiran lokasi penemuan rangka motosikal itu dan polis berjaya menemui sebuah lagi motosikal jenis Honda EX5 warna hitam tanpa nombor pendaftaran juga dalam keadaan terbaring.

“Sejurus kemudian, anggota terlibat turut melakukan intipan selama 30 minit, namun tidak berjaya menemui sesiapa yang datang untuk mengambil motosikal terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.

Beliau berkata, kedua-dua barangan terbabit kemudiannya dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

“Apabila siasatan lanjut dilakukan, kita berjaya mengesan bahawa nombor enjin dan casis kedua-dua motosikal berkenaan pernah dilaporkan hilang sebelum ini dalam kejadian di Taiping dan Pokok Assam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta memberikan kerjasama dalam usaha menyelesaikan kes tersebut. Mereka juga boleh berhubung terus atau datang ke IPD atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.