KUALA KANGSAR: Dalam usaha membendung gejala jenayah siber yang membabitkan golongan remaja, kerajaan negeri Perak telah melantik 1,000 pelajar sekolah di beberapa daerah untuk menanggotai ahli Rakan Alam Siber (RAS).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, pelajar-pelajar yang dilantik itu akan berfungsi sebagai mata dan telinga pihak berkuasa serta pihak sekolah dalam usaha mengekang genjala berkenaan.

“RAS ini bukan sahaja akan mengelak remaja kita melakukan jenayah alam maya malah akan mengelak mereka daripada membuat jenayah itu juga.

“Sekiranya ahli-ahli terdengar atau nampak kawan sebaya mereka melakukan sesuatu atau mungkin menjadi mangsa jenayah ini, mereka boleh terus membuat aduan kepada pihak sekolah atau pihak berkuasa,” katanya pada satu sidang media di sini, pada Rabu.

Terdahulu, beliau telah merasmikan program pencegahan jenayah siber terhadap kanak-kanak peringkat daerah Kuala Kangsar di SMK Clifford anjuran Pertubuhan Wanita Perihatin.

Tambah Amin, jumlah pelajar yang dilantik menjadi ahli RAS itu akan dipertingkatkan dari masa ke semasa mengikut kesesuaian.

“Kita lihat semakin hari isu ini menjadi sesuatu yang serius, sekiranya kita tidak mengambil sebarang langkah berjaga-jaga maka sudah tentu ia akan merosakkan anak bangsa.

“Jadi setakat ini kita bersetuju untuk melantik 1,000 pelajar sekolah dahulu yang melibatkan sekolah-sekolah di daerah Kinta serta Kuala Kangsar, kemudian ia akan diperluaskan lagi,” ujarnya.

Katany, kesemua pelajar-pelajar yang dilantik itu juga telah diberikan kursus khas terlebih dahulu mengenai gejala berkenaan.

“Pertubuhan Wanita Perihatin kini sedang giat melakukan program pencegahan jenayah siber ini di beberapa daerah untuk mendedahkan kepada pelajar mengenai risiko jenayah siber ini.