Tiada yang pahit, semuanya manis sahaja di sini sesuai dengan suasana sekitarnya, walaupun begitu realitinya mungkin tidak setimpal dengan nama tempat ini iaitu Kampung Pahit yang terletak di tengah-tengah antara dua buah pekan iaitu di sebelah selatanPekan Gerik dan di utaranya Pengkalan Hulu.
Pada tahun 1919 iaitu semasa di bawah penjajahan Inggeris di Tanah Melayu, penduduknya membuka pintu sempadan untuk para pedagang dari luar masuk ke Tanah Melayu bagi tujuan berdagang.
Dijadikan cerita ia memberikan peluang kepada tiga orang bersaudara iaitu Ben Abu Osman, Omar Abu Osman dan Hamad Abu Osman untuk berhijrah kerana negara mereka di Pattani, Thailand sedang bergolak.
Mereka datang ke Tanah Melayu dengan berjalan kaki, dalam perjalanan itu oleh kerana terlalu letih maka mereka mengambil keputusan untuk berehat di tepi sebatang anak sungai di sebuah kawasan.


Kebetulan atas faktor dahaga yang amat sangat mereka mencedok air dari sungai tersebut lalu diminum, apa yang menghairankan apabila didapati rasa air tersebut pahit dan tercetuslah idea untuk sama-sama menamakan kampung itu sebagai Kampung Pahit.
Kira-kira pada tahun 1960, kerajaan Negeri Perak telah melantik seorang ketua kampung dari kalangan penduduk Kampung Pahit memandangkan kawasan kampung ini luas yang terbahagi kepada tiga buah kampung iaitu Kampung Pahit Tengah sebagai kampung induk dan Kampung Pahit Luat sebagai kampung rangkaian.
Pada tahun 1990an iaitu semasa negeri Perak diterajui oleh Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali sebagai Menteri Besar, kerajaan negeri Perak telah membuka sebuah penempatan baru di Kampung Pahit Luar yang diberi nama Projek Penempatan Rakyat Termiskin (PPRT) Tun Saban.
Ianya merupakan penempatan pertama seumpamanya di daerah Hulu Perak dan menurut sumber sejarah Tun Saban adalah Orang Besar yang menguasai jajahan Hulu Perak pada awal abad kr-16 dan dipercayai anakanda kepada Bendahara Melaka Tun Perak.
Beliau merupakan wakil dari negeri Perak yang memohon perkenan Sultan Melaka yang terakhir iaitu Sultan Mahmud Shah supaya salah seorang putera baginda Raja Muzaffar Shah ditabal sebagai Sultan Perak yang pertama.
Rentetan daripada itu Kampung Tun Saban telah ditadbir secara berasingan daripada Kampung Pahit dan mempunyai ketua kampungnya sendiri sehingga kini.

Dialek pertuturan di sini juga ada setengahnya berbunyi seperti Kelantan memandangkan ia dekat dengan negeri Cik Siti Wan Kembang, namun ada juga yang bertutur dalam loghat utara bersempadan dengan Sungai Petani, Kedah.
Bahasa Gerik Dan Maksudnya (Sesetengahnya digunakan di kawasan pedalaman)

– Mu/mung: awak
– Mika: kamu
– Dema: mereka
– Gena/begeno:kenapa
– Tahok/thok: buang
– Mapoh gi/betey gi: biarkan
– Wakpo: kenapa
– Tubek: keluar
– Handah: berlaga, berlanggar, hentam
– Beghekey: bersusun, beratur
– Duik: duit
– Semamak/seghabuk peghok: rimas
– Mugheh: marah
– Manih leting: taramat manis
– Hitam leting: teramat manis
– Hitam poghong: hitam legam
– Meghah bejetek: merah menyala
– Tebolah/nana: tak cermat, tak beradab
– Hakek: angkat
– Hakok: alihkan ke tempat lain
– Kenaling: tak sedap badan
– Maseng kiak: teramat masin
– Air way: air sungai
– Tepek: lempeng
– Setek bughung: lastik burung
– Damuh: kotor
– Gatek/tek : sama atau juga
– Tina hangik: perempuan buas/nakal
– Deh: digunakan di hujung ayat
– Mokoh: muka kawal malu
– Habih licing: tiada apa yang tinggal
– Cokoh: masih melepas lagi
– Sutey: sebutir
– Nusuk: menyorok
– Peghati molek: tengok betul-betul
– Betambong: terlalu banyak
Fakta Tentang Gerik
Gerik terletak kira-kira 146 km dari Ipoh dan 102 km dari kuala kangsar. Terletak bersempadan dengan Jeli di bahagian Pantai Timur yang jaraknya lebih kurang 115 km. Pekan-pekan berhampiran antaranya Lenggong 55km dan Baling,Kedah 57 km.
Keunikannya ialah dikelilingi hutan tebal yg masih tidak terusik lagi.
Gerik merupakan ‘ibu daerah’ bagi daerah hulu perak yang merangkumi Hutan Belum, Lenggong dan Pengkalan Hulu yang bersempadan dengan Kedah. Daerah ini mempunyai 2 kawasan Parlimen iaitu Lenggong dan Gerik serta mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN).