KUALA SELANGOR: Tidur di lantai tanpa tilam dan hanya beralaskan tikar getah usang. Itu dilalui 58 murid lelaki di Madrasah Al-Huffaz Wal-Ulum, Puncak Alam, di sini, sejak setahun lalu.

Bukan itu saja, bilik tidur yang disewa dari sebuah rumah kedai berukuran 6×24 meter itu turut digunakan sebagai kelas menghafal al-Quran dan tempat makan.

Kisah sedih murid terbabit yang tular di laman sosial sejak lima hari lalu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen serta membuka mata ramai pihak membantu memberikan
Difahamkan, murid madrasah berkenaan menerima sumbangan selimut tiga hari lalu selepas gambar menyentuh hati itu tersebar di laman sosial.

Tinjauan Metro Ahad semalam menyaksikan sendiri kedaifan madrasah berkenaan yang ditubuhkan April tahun lalu yang serba kekurangan dengan sebahagian lantai ditutupi tikar getah usang serta keadaan kurang terurus.

Murid Muhammad Alif Khusairi, 14, berkata, meskipun tiada kemudahan lengkap, tetapi dia seronok belajar di madrasah berkenaan sejak Julai tahun lalu.

“Banyak saya pelajari di madrasah ini terutamanya al-Quran dan bacaan kitab yang semakin lancar.

“Sebelum ini bacaan al-Quran saya bukan saja tidak lancar, tetapi tidak tahu hukum tajwid,” katanya.

Katanya, dia tidak menjadikan kekurangan di madrasah itu penghalang mendalami ilmu Allah.

“Ujian dalam menuntut ilmu berbeza-beza dan ujian saya seperti ini (belajar di madrasah tidak lengkap kemudahan).

“Semua ini ditentukan Allah dan yakin ada hikmahnya. Saya akan berusaha menghafal 30 juzuk al-Quran seperti ustaz dan pengetua, di sini,” katanya.

Pengetua madrasah, Hafizullah Mahmud, 30, berkata, dia menubuhkan madrasah itu untuk membantu merealisasikan impian ibu bapa kurang berkemampuan, tetapi ingin anak mereka hafal al-Quran.

“Pilihannya adalah belajar di Madrasah Al-Huffaz Wal-Ulum kerana yuran di madrasah ini murah iaitu RM150 sebulan termasuk makan serta penginapan.

“Malah ibu bapa boleh membuat bayaran secara ansuran jika tidak mampu. Kita bagi masa kepada ibu bapa menjelaskan bayaran yuran tertunggak,” katanya.

Katanya, madrasah itu didirikan atas sumbangan orang ramai terutamanya bantuan pemilik kedai pencuci pakaian yang membenarkan dia menyewa satu lot rumah kedai miliknya.

“Madrasah ini tidak hanya menghafal al-Quran dan belajar agama, tetapi juga ilmu akademik yang diajar enam ustaz.

“Saya akui banyak kekurangan di madrasah ini yang perlu dibaiki, namun kebajikan murid-murid tidak pernah diabaikan,” katanya.

Katanya, madrasah itu memerlukan bantuan van untuk kegunaan murid ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat kerana ketika ini ini mereka terpaksa berjalan kaki 30 minit ke masjid berkenaan.

“Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 562133506405 dan CIMB Bank 8602550959 atas nama al-Huffaz Wal-Ulum,” katanya. -MyMetro