TAPAH – “Saya rasa macam mimpi, tangan saya menggeletar ketika menerima replika kunci ini,” kata Mohammed Sulaiman Abd Muthalif, 48, seorang daripada 12 penerima bantuan rumah di bawah Projek Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB), tahun ini.

Mohammed Sulaiman dari Teluk Intan mengakui, perasaannya berbaur antara gembira dan terharu selepas berpuluh tahun menanti bantuan rumah.

Mohammed Sulaiman

Menurutnya, rumah yang didiami bersama isteri dan seorang anak sekarang sudah terlalu uzur dan sering mengalami kerosakan terutama bumbung bocor.

“Rumah itu pun saya bina sendiri sedikit demi sedikit, tentulah tak sempurna seperti rumah orang lain, dengan gaji bekerja sambilan di ladang kelapa sawit, saya tak mampu menyediakan rumah sendiri.

“Permohonan sudah banyak kali dibuat, tetapi tak pernah dapat. Alhamdulillah, tahun ini ALLAH berikan rezeki, terima kasih kepada TNB kerana merealisasikan hasrat kami,” katanya.

Seorang lagi penerima, Zuraidah Ibrahim, 43, menganggap bantuan rumah diterima itu sebagai keberkatan sempena Ramadan.

Ibu kepada tiga anak yang menetap di Kuala Kurau, Kerian itu berkata pendapatan sebagai pekerja sawah hanya membolehkan beliau dan suami menyewa rumah sahaja.

“Berkat Ramadan, kami sekeluarga terpilih menerima bantuan rumah ini, syukur sangat-sangat,” katanya.

Ahmad Faizal turut menyampaikan bantuan berupa wang tunai kepada 50 golongan kurang berkemampuan dari kawasan DUN Chenderiang sempena majlis Ihya Ramadan 2019 anjuran TNB Perak di Masjid Al Mukmin Kampung Batu 3, Jalan Pahang.
Ahmad Faizal turut menyampaikan bantuan berupa wang tunai kepada 50 golongan kurang berkemampuan dari kawasan DUN Chenderiang sempena majlis Ihya Ramadan 2019 anjuran TNB Perak di Masjid Al Mukmin Kampung Batu 3, Jalan Pahang.

Penyerahan replika kunci rumah Projek Baiti Jannati disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sempena majlis Ihya Ramadan 2019 anjuran TNB Perak di Masjid Al Mukmin Kampung Batu 3, Jalan Pahang.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Retail TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pembinaan kesemua rumah itu akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka siap Julai depan.

Katanya, setiap rumah melibatkan kos RM50,000 dan TNB turut menyediakan kelengkapan asas dalam rumah bagi meringankan beban penerima.

“Setakat ini, 12 keluarga telah dikenalpasti, bagaimanapun TNB bersama Lembaga Zakat Perak akan terus mengenal pasti golongan lain yang memerlukan agar lebih banyak bantuan rumah dapat dibina di sini,” katanya – sinar harian