KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon, dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming, dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

Keputusan dicapai melalui undi bersurat dalam kalangan Ahli Parlimen.

Berdasarkan undi, Rashid memperoleh 171 undi, manakala Kor Ming mendapat 124 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, sebentar tadi selepas kira-kira 15 minit proses pengundian dijalankan.

Terdahulu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan Mohd Rashid dan Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Selain itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mencadangkan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee sebagai Timbalan Speaker.

Kiandee yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat hanya memperoleh 93 undi.

Rashid adalah Ahli Parlimen PKR, manakala Kor Ming daripada DAP – berita harian