Nama : Dato’ Rashidi Ibrahim

Isteri : Datin Zuraini Abd Rahman

Anak : 4 orang

Pendidikan:

– Pendidikan awal di S. K Kampung Pasir Panjang Laut

– ACS Sitiawan hingga Tingkatan Enam.

– Memasuki Maktab Perguruan Pasir Panjang Kuala Terengganu sebelum mengajar di SRK Ulu Balungian, Sarawak.

Penglibatan politik:

– Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Lumut

– Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lumut 1997

– Naib Ketua UMNO Bahagian Lumut

– Timbalan Ketua  UMNO Bahagian Lumut.

BENAR kata orang, sekali bergelar cikgu, gelaran itu akan melekat sampai bila-bila. Begitulah juga pengalaman seorang bekas guru, Dato’ Rashidi Ibrahim yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang.

  Menariknya, Pasir Panjang seolah-olah tidak dapat dipisahkan dengan Rashidi. Beliau mendapat pendidikan awal di Pasir Panjang. Beliau pernah berhijrah ke Sarawak untuk melanjutkan pengajian di sebuah maktab perguruan di sebuah kawasan yang juga dinamakan Pasir Panjang.

  “Saya kemudiannya kembali ke Pasir Panjang dan kemudian menjadi wakil rakyat di Pasir Panjang,’’ katanya ketika ditemui Suara Perak baru-baru ini.

  Walaupun sudah agak lama meninggalkan alam perguruan, Rashid menganggap beliau masih memainkan peranan sebagai guru kepada rakyat di kawasannya.

  Menurut beliau, tanggungjawab sebagai wakil rakyat tidak pernah membataskan peranannya untuk mendidik masyarakat, walaupun pendekatannya berbeza.

  Bagi beliau, pengalaman sebagai guru merupakan bonus untuk beliau lebih memahami dan mendalami isi hati rakyat, khususnya anak-anak muda yang dahagakan perubahan.

  “Mungkin itu antara sebab mereka masih panggil saya cikgu. Mereka macam sahabat saya, tidak ada protokol untuk berjumpa dan bersembang. Paling penting ialah memberi khidmat terbaik kepada mereka,’’ ujar beliau.

  Setelah menjadi ADUN Pasir Panjang, beliau bertekad untuk bersama-sama  membangunkan kawasan Pasir Panjang selain memberi tumpuan merancakkan lagi pembangunan bandar Manjung.

Bangunkan Pelancongan Di Sungai Dinding

Penekanannya kini tertumpu kepada sektor pelancongan di Sungai Dinding yang jika diubah dan digarap dengan sebaiknya, mampu menghasilkan pulangan ekonomi yang tinggi kepada masyarakat setempat.

  Menurut Rashidi, Sungai Dinding yang sepanjang 25 kilometer akan dijadikan sebagai produk pelancongan terbaharu yang mana para pelancong dalam dan luar negeri berpeluang menyusuri sungai dengan menaiki bot.

  “Sungai Dinding punya banyak tarikan menarik yang boleh kita guna sebagai produk semulajadi yang merangkumi kehidupan laut, darat dan hutan paya bakau,” katanya.

  Beliau menambah, bagi pencinta alam semula jadi atau mereka yang gemar dengan kegiatan dokumentari, Pasir Panjang boleh memberi pengalaman menarik termasuk kewujudan spesis burung yang berkumpul dan mencari makan.

  Selain itu, Pasir Panjang juga terkenal dengan keindahan alam flora dan fauna hutan paya bakau di sepanjang Sungai Dinding.

 

 

“Pakej yang kita buat bergantung kepada kehendak pelancong, bermula dari jeti Lumut ke Kampung Baharu, jeti Lumut ke Kampung Teluk atau sekiranya mereka mengambil pakej keseluruhan menyusuri sungai Dinding ia akan mengambil masa selama dua jam,” tambahnya.

  Selain itu, katanya, para pelawat juga berpeluang singgah di kampung-kampung yang terdapat di sepanjang sungai untuk menikmati makanan tradisional seperti kuih bahulu, kuih bakar dan dodol selain masakan tradisional yang disediakan penganjur.

  Selain pelancongan, Rashidi juga berazam untuk menggalakkan lebih ramai penduduk terlibat secara langsung dalam kegiatan ekonomi desa seperti melibatkan diri dalam bidang berasaskan pertanian.

  “Saya galakkan berniaga di tapak pasar tani dengan memasarkan hasil tanaman pertanian di tapak pasar tani karavan di Manjung.

  “Saya juga merancang untuk mewujudkan tapak-tapak baharu untuk memberi peluang penduduk di sekitar DUN Pasir Panjang terbabit dalam kegiatan perniagaan secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan keluarga,” ujarnya.

Tekankan Agenda Pendidikan

Menurut Rashidi, sebagai bekas guru, beliau sentiasa menekankan tentang kepentingan pendidikan bagi memastikan generasi muda mendapat akses pendidikan yang berkualiti.

 

  Pasir Panjang juga kata beliau, mampu menjadi mini hub pendidikan dengan kewujudan institusi pendidikan tinggi seperti kolej komuniti, kolej vokasional, kolej jururawat dan Universiti Kuala Lumpur  yang melatih pelajar dalam bidang perkapalan.

  “Pelajar-pelajar ini kita gunakan untuk mendalami latihan praktikal di syarikat-syarikat besar seperti di Vale dan syarikat perkapalan lain,” katanya.

  Beliau turut memberi perhatian dalam bidang pendidikan pondok termasuklah sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz.

  Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, Rashidi sentiasa memastikan bahawa jadualnya bersama penduduk sentiasa diutamakan dan tidak hairanlah beliau sentiasa mendampingi  mereka di warung-warung untuk bertanya khabar, selain mendapatkan maklum mengenai kehidupan rakyat.

 Menurut Rashidi, pusat khidmat DUN Pasir Panjang dibuka kepada orang ramai dari jam 8 pagi hingga 5 petang bagi membolehkan rakyat mengemukakan permasalahan mereka untuk diambil tindakan penyelesaian segera. – Suara Perak