PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan hari ini memutuskan untuk menggugurkan ratifikasi Statut Rom.

Perdana Menteri, Tun Dr Mohamad berkata, keputusan itu dicapai menerusi mesyuarat Kabinet yang berlangsung pagi tadi.

Menurutnya, banyak pihak yang keliru mengenai Statut Rom hingga membuatkan keputusan itu dibuat.

“Nampaknya banyak keliru mengenai Statut Rom ini, jadi kami tidak akan menyetujui.

“Ada yang berpandangan jika kita meratifikasi Statut Rom, kita tidak dapat meneruskan sesuatu undang-undang.

“Terdapat juga dakwaan bahawa pemerintah sekarang menyerahkan terlalu banyak kuasa kepada orang asing, ini tidak benar,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Dengan mengambil contoh negara Myanmar yang tidak meratifikasi Statut Rom, Dr Mahathir berkata, negara itu telah diberi amaran oleh Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) ekoran melakukan banyak keganasan.

“Statut Rom itu hanya akan terkena kepada kita kalau kita melakukan pembunuhan,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendedahkan, beliau mendapat tahu bahawa ada pihak cuba mempengaruhi kerabat diraja untuk menentangnya dengan menggunakan isu berkenaan.

“Mereka menggunakan isu ini (Statut Rom) untuk mencalarkan imej saya sebab mereka tahu tidak dapat menjatuhkan saya.

“Jika ia adalah cubaan memburukkan kerajaan termasuk nama saya (PM) tetapi semua itu adalah soal politik dan tidak terkait dengan Statut Rom,” ujarnya.

Ditanya sama ada Malaysia ada menerima pakai Statut Rom atau tidak, Dr Mahathir menjawab, kita tidak boleh melakukan sesuatu yang melanggar undang-undang.

“Semua orang tertakluk kepada undang-undang dan kita akan memerintah negara ini mengikut undang-undang,” tegasnya. – MalaysiaGazette