Oleh: Abd Razak Mohd Ali

suaraperakeditorial@gmail.com

IPOH: Setiap kali hujan lebat melebihi setengah jam penduduk di tiga buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Hulu Kinta pasti tidak senang duduk. Mereka dapat merasakan rumah mereka akan dinaiki banjir kilat. Itulah yang mereka hadapi sejak berpuluh-puluh tahun lalu walaupun aduan demi aduan telah mereka ajukan.

Mohd Rafizi Abd Rahman dari Kampung Kolam, Tanjung mendakwa, sejak kira-kira 30 tahun lalu, rumahnya sentiasa dinaiki air. Isunya bukanlah besar tetapi hanya sistem perparitan yang tidak sempurna. “Masalahnya sekarang ni saluran air di laluan kampung ni tidak diselenggarakan dengan betul sehingga mendatangkan masalah kepada penduduk, termasuk rumah saya. “Perkara ini sudah berlarutan sejak saya kecil, boleh dikatakan dekat 20 tahun 30 tahun dah berlarutan.

“Walaupun ada dibuat pembangunan, buat perubahan sikit tetapi masalah itu tidak diselesaikan dengan sempurna,” katanya kepada Suara Perak. Banjir di Rancangan Perumahan Awam (RPA) 2, Batu 8,

Tanjung Rambutan pula mengundang persoalan kerana kedudukannya di atas bukit.

Bagaimanapun, pengerusi persatuan penduduk perumahan itu, Mohd Ghazali Main menjelaskan, banjir kilat berlaku kerana kolam takungan di kawasan itu tidak mampu menampung air sekiranya hujan lebat lebih setengah jam. “Di RPA 2 ni masalahnya bila hujan lebat melebihi setengah jam, ia akan banjir, masalahnya ialah takungan air. “Apabila takungan air dibuat satu lagi saluran lain, air boleh keluar ke sebelah lain, insya Allah, masalah ini akan pulih.

“Masalah ini dah lama tapi apabila hujan lebat, dia akan banjir dan kami berharap semoga kerajaan baru sekarang, khususnya wakil rakyat di sini dapat membantu pendudukpenduduk di sini,” katanya penuh harapan. Bagi Kelsom Khalid, 78, banjir kilat yang sering berlaku menyebabkannya mengalami banyak kerugian, kerana permaidani dan barangan elektrik rosak.

“Tiap-tiap kali hujan, banjir, asal hujan lebat lebih daripada setengah jam, banjir terus masuk dalam rumah, karpet rosak, televisyen rosak banyak kali dah. “Masalahnya sekarang ni, kami hendak minta pihak berkenaan buat segera apa yang dicadangkan oleh pengerusi kami,” ujarnya. Masalah perparitan yang tidak sempurna sehingga berlaku banjir juga dialami penduduk Kampung Chee yang melibatkan 14 buah rumah.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Chee, L. Panjawranam berkata, mereka telah beberapa kali membuat aduan supaya membantu menyelesaikan masalah yang dialami sejak bertahun-tahun lalu. “Banjir sini sudah banyak kali, tapi tiba ini lebih teruk, bukan disebabkan oleh air sungai yang dibelakang rumah kami melimpah. “Cuma air longkang tidak boleh ke sungai kerana ban yang ada menyebabkan air tidak dapat ke sungai, sebaliknya menolak masuk ke rumah kami.

Kalau longkang boleh dibesarkan lagi, baru boleh selesai masalah,” katanya. Penduduk ketiga-tiga kawasan perumahan itu merayu supaya masalah banjir kilat di tempat mereka diatasi segera, agar mereka juga dapat tidur lena walaupun hujan lebat.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, YB Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pihaknya akan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan masalah itu. Menurut beliau, pihaknya telah mengenal pasti masalah di Kampung Kolam disebabkan sistem keparitan yang tidak sempurna. “Kami sudah mengenalpasti masalahnya dan kami akan ajukan kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan secepat mungkin di situ.

“Begitu juga di RPA 2, masalah banjir berlaku kerana sistem perparitan, perkara itu bukan besar sangat dan susah sangat, sebenarnya kita boleh menyelesaikannya,” tambahnya. Di Kampung Chee pula, kata YB Arafat, sistem perparitannya sangat kecil dan langsung tidak sempurna kerana mungkin langsung tidak dipedulikan.

“Kita sudah kumpulkan maklumat maklumat ini, kita akan bertemu dengan Datuk Bandar Ipoh, JKR dan sebagainya untuk duduk bincang, “Kita akan bentangkan semua perkara ini supaya ambil tindakan selanjutnya dan kita mahu tindakan secepat mungkin kerana tidak lama lagi akan datang musim hujan,” ujarnya.