BALING: “Saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempercepatkan proses penyiasatan kerana kami bergantung mencari rezeki dengan berniaga laksa sepenuh masa untuk menyara keluarga,” kata Habsah Ibrahim, 51, peniaga laksa kebok di Kampung Landak, Kupang, di sini.

Isteri kepada pemilik gerai laksa itu, Daud Ismail, 51, pendapatan harian mereka akan terjejas jika masih tidak dapat berniaga kerana gerai itu diarah tutup oleh KKM.

Habsah berkata, mereka sekeluarga sudah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak KKM sejak hari pertama kes itu.

“Kami memberi kerjasama yang sebaiknya dan memohon pihak berkenaan memberi jawapan hasil siasatan itu secepat mungkin.

“Sudah seminggu kami tidak berniaga sekali gus punca pendapatan turut terjejas dan kami perlu membayar pelbagai utiliti,” katanya.

Menurutnya, dia dan suami akur dengan arahan KKM menutup premis dan berharap berlaku adil kerana mereka sudah memberi kerjasama yang sebaiknya kepada pihak berkenaan.

“Anak-anak saya juga melakukan suntikan kesihatan cuma cucu saya sahaja dikecualikan.

“Saya sudah berniaga lama dan terkejut apabila tular dalam media sosial kes keracunan selepas memakan laksa yang dibeli di gerai ini,” katanya.

Sementara itu, anaknya Abd Hakim Daud, 23, berkata dia dan bapanya memasak sendiri laksa itu.

Katanya, selepas siap memasak mereka akan makan dan merasai makanan itu sebelum dijual malah anaknya, Mohd Qayyum, 11 bulan tidak terlepas memakan laksa setiap hari.

“Saya pun terkejut apabila pejabat kesihatan datang membuat pemeriksaan mengatakan laksa yang diproses mereka ada keracunan makanan.

“Kami diberi notis menutup premis sehingga selesai penyiasatan,” katanya.

Abd Hakim berkata, mereka menjual laksa kebok setiap hari kecuali hari Jumaat kerana sekeluarga akan pergi ke Sik untuk belajar agama di sebuah pondok di sana.

“Kami menjual laksa 50 sehingga 100 kilogram setiap hari dan bergantung pada hari cuti.

“Kami juga memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa yang meninggal dunia sekiranya punca keracunan itu daripada laksa kebok,” katanya – berita harian