IPOH – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan seorang pekerja pusat hiburan keluarga terhadap hukumannya oleh Mahkamah Sesyen pada 8 Feb lalu.

Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Irwan Shah Zainaul, 34, bersalah terhadap pertuduhan melakukan samun bersama dua suspek yang masih bebas dan menetak seorang mangsa dengan sebilah pisau pada bahagian kepala.

Tertuduh yang melakukan kesalahan itu di kedai perabut TM Jati Group Jalan Besar Jelapang di sini, kira-kira 2.20 petang pada 14 Okt 2016 lepas dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan enam sebatan.

Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis dalam penghakimannya berkata, berdasarkan fakta dan hujahan daripada pihak pendakwaaan dan perayu, kesalahan yang dilakukan amat serius sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa.

Perayu ditangkap di tempat kejadian dan hanya mengaku bersalah ketika perbicaraan dijalankan. Perayu didapati memiliki tujuh rekod jenayah lampau dan sudah dihukum.

Perayu tidak menyesal dengan kesalahan lampau yang dilakukan, malah melakukan kesalahan yang lebih serius, katanya.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwaraya How May Ling manakala perayu diwakili Nurul Jannah Khairul Anuar dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan. — BERNAMA