KUALA LUMPUR: MCA menyifatkan “rayuan” Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad taktik untuk memecah-belahkan pembangkang menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai.

Presiden Wee Ka Siong mengingatkan Mahathir seorang ahli politik veteran berpengalaman dalam memecahbelahkan lawan.

“Kita tidak terancam sekali pun,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Mahathir semalam berkata penyertaan calon Umno pada PRK itu nanti akan membantu kemenangan Pakatan Harapan.

Di pihak BN, Umno dan MCA masing-masing mengumumkan minat untuk bertanding di kerusi itu, yang kosong selepas kematian penyandang, Md Farid Md Rafik dari PPBM pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Tanjung Piai pernah menjadi medan tempur antara MCA dan DAP tetapi DAP beri laluan kepada PPBM pada pilihan raya umum lepas.

Farid menang kerusi itu dengan majoriti 524 undi. Penyandang, Wee Jeck Seng dari MCA, meraih 20,731 undi dan Nordin Othman dari PAS dapat 2,962 undi.

Sebanyak 57% pengundi di Tanjung Piai adalah Melayu, diikuti Cina (42%), dan India (1%).

Sementara itu, Wee berkata tempoh masa yang panjang antara tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan tarikh pilihan raya (1 Okt) dan hari penamaan (2 Nov) memberi kelebihan kepada parti pemerintah untuk turun padang.

“Kenapa mereka melengah selama 32 hari dari hari pengumuman sehingga hari penamaan?” katanya.

“Kita sedar segala peruntukan akan diberikan,” katanya.

Rakyat Parlimen Tanjung Piai akan mengundi pada 16 Nov, selepas 14 hari berkempen.