KANGAR : Pesuruhjaya Pas Perlis, Mohd Shukri Ramli yang rebah ketika berucap pada ceramah Muafakat UMNO-Pas di Dewan 2020 malam tadi dilaporkan stabil dan menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Timbalan Pesuruhjaya III Pas Perlis, Russele Eizan berkata, Mohd Shukri telah memberi reaksi dan menjalani pengimbasan tomografi berkomputer (CT Scan) malam tadi.

Beliau turut meminta seluruh rakyat mendoakan Mohd Shukri agar cepat sembuh dan kembali menjalankan tugas seperti biasa.”Sebelum ini Mohd Shukri tidak mengalami apa-apa penyakit termasuk jantung mungkin dia penat selepas hadiri pelbagai aktiviti sepanjang hari,” katanya.

Dalam kejadian 10 malam itu Mohd Shukri yang juga penceramah pertama ketika itu memberikan kata-kata aluan memperkenalkan barisan kepimpinan tertinggi Pas dan UMNO sebelum secara tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.

Ceramah itu turut dihadiri Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang sebelum itu diberi bantuan pernafasan oleh Unit Medik, Jabatan Amal Malaysia sebelum dibawa ke HTF.

Kepimpinan Pas dan UMNO negeri serta ratusan penyokong termasuk wakil rakyat PKR dilihat hadir ke HTF bagi mengetahui perkembangan Mohd Shukri.

-Sinar