Ipoh: Seorang anggota bomba meninggal dunia akibat serangan jantung ketika mahu memulakan tugas untuk ke lokasi kebakaran sebuah kedai di Laluan Tawas di Ipoh, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Azaman Abd Aziz, 50, rebah dan tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia di Wad Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Datuk Yahaya Madis berkata, ketika kejadian, mangsa berada di pos kawalan yang diwujudkan di Jalan Kampar berikutan lokasi itu jauh dari balai utama.

Katanya, mangsa yang bertugas sebagai pemandu jentera di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh tiba-tiba rebah selepas menghidupkan enjin jentera untuk ke lokasi kebakaran.

“Sebaik menghidupkan enjin mangsa turun dari jenteranya sementara menunggu anggota lain menaiki jentera namun sebaik semua anggota naik mangsa didapati tidak berada dalam jentera itu.

“Anggota kemudiannya turun untuk mencari sebelum mendapati mangsa rebah berdekatan dengan jentera,” katanya ketika dihubungi semalam.

Yahya berkata, mangsa dibawa ke wad kecemasan HRPB menaiki kenderaan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan akibat serangan jantung.

Menurutnya, jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap, Jalan Kuala Kangsar, Ipoh, selepas solat Asar semalam. -Metro