KOTA BHARU: “Saya reda andai tidak dibenarkan bertemu dengan Ayu sehinggalah usianya 18 tahun.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa jika kerajaan Thailand mahukan seperti itu,” luah peraih getah berusia 41 tahun yang berkahwin dengan budak berusia 11 tahun yang juga isteri ketiganya.

Peraih getah itu berkata, isterinya diambil pihak kerajaan Thailand dan ditempatkan di Pusat Kebajikan negara itu selepas Ayu dan keluarganya ke Thailand awal bulan ini.

Katanya, dia sebagai suami tidak mampu berbuat apa-apa kerana sedar Ayu baru berusia 11 tahun dan menyerahkan kepada Allah terhadap apa yang berlaku.

“Sejak Ayu ditempatkan di pusat kebajikan itu, saya tidak berhubung langsung dan belum berkesempatan melawat Ayu di sana kerana terlalu sibuk.

“Saya agak terkejut apabila mengetahui Ayu akan ditempatkan di pusat kebajikan sehingga usia 18 tahun dan tidak dibenarkan berjumpa. Namun apakan daya jika undang-undang mahukan seperti itu.

“Namun saya akan pergi melawat Ayu dalam masa terdekat untuk mengesahkan perkara itu dan kini hanya mampu berdoa supaya kehidupan isterinya terpelihara di sana,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dia berkata, sebagai suami sudah tentu dia merindukan isterinya yang tinggal berjauhan dan sukar untuk berjumpa.

Pada 18 Jun lalu, kisah perkahwinan Ayu dan peraih getah itu menjadi viral selepas isteri kedua lelaki itu mendedahkan perkara itu di dalam laman sosial Facebook.

Berikutan itu, lelaki terbabit yang tinggal di Kampung Lalang, Kuala Betis, sudah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang atas dua tuduhan baru-baru ini – berita harian