IPOH: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) mampu menjadi pemangkin kepada aktiviti-aktiviti pencegahan jenayah bersama komuniti dalam usaha mengurangkan kejadian jenayah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, hasilnya, tahun lalu, jenayah indeks per 100,000 penduduk Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 11.9 peratus atau 11,949 kes kepada 88,662 kes berbanding nilai ambang yang ditetapkan iaitu 100,611 kes.

Menurutnya, di Perak sahaja, tahun lalu hampir 2,500 rondaan keselamatan secara sukarela telah diadakan yang meliputi 17 daerah persempadanan RELA dalam usaha mencegah jenayah di kawasan setempat.

Oleh itu, kata beliau, ia patut diteruskan dengan penglibatan komuniti setempat untuk bersama-sama menggalas tanggungjawab mengurangkan insiden jenayah.

“Dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan masyarakat setempat, peranan para pegawai dan anggota RELA Perak perlu dikembang luaskan lagi dengan penglibatan bersama agensi-agensi lain dalam menguruskan insiden-insiden bencana dan kecemasan.

“Anggota-anggota RELA berupaya menjadi pasukan yang paling awal tiba di tempat kejadian sebelum ketibaan pasukan Polis, Bomba atau ambulans kerana jumlah anggota RELA yang ramai dan mereka ini berada di mana-mana sahaja.

“Justeru, usaha pemerkasaan dan pembangunan keupayaan pegawai serta anggota RELA hendaklah sentiasa ditingkatkan supaya mereka mampu menggalas tanggungjawab penting ini,” katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan ulangtahun ke 47 RELA peringkat negeri Perak di Ipoh pada Ahad.

Setakat ini, RELA Perak mempunyai 300,000 ahli berdaftar di samping menubuhkan Briged RELA Siswa Siswi atau RELASIS di Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Sultan Azlan Shah.

Pada majlis itu, beberapa anggota dan pegawai RELA menerima anugerah sebagai menghargai khidmat sukarela yang mereka berikan.