KUALA KANGSAR – Seorang penduduk di sini menemukan sebuah relau diperbuat daripada besi yang dipercayai berusia lebih 100 tahun di atas Bukit Arang Para di Kampung Ketior Luar dekat sini.

Penduduk tersebut, Saidina Umar Mohd. Nor, 71, mendakwa dia menemukan relau tersebut sejak bertahun lalu dan kini mula menjadi perhatian ramai.

Pada relau itu tertulis perkataan ‘Emperor No.2’ dan mempunyai ukur lilit 65 senti­meter, dalaman 55 senti­meter dan tinggi 92 sentimeter.

Relau tersebut dipercayai dibuat di Perancis atau Bri­tain ketika pemerintahan Ratu Victoria di Britain sekitar 1837 hingga kematian baginda pada 1901.

“Penemuan relau ini pelik kerana agak sukar untuk membawa barang seberat ini sehingga ke atas bukit,” katanya Sai­dina Umar.

Menurut Saidina Umar, dia menemukan relau tersebut ketika mendaki bukit berkenaan untuk mencari rotan.

“Relau ini mungkin untuk membakar kayu atau menjadi sumber cahaya pada waktu malam. Ia juga mungkin alat memanaskan badan ketika malam yang sejuk,” katanya.

Saidina Umar mengalu-alukan kajian mengenai relau tersebut oleh peminat barangan antik atau pengkaji sejarah.

“Penduduk di sini tidak me­ngetahui sejarah atau asal usul relau ini, jadi sejarahnya perlu dikaji,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Mohamad Zuraimi Razali berkata, penemuan tersebut besar maknanya buat sektor pelancongan daerah ini.

“Saya berhasrat untuk mendaki bukit berkenaan untuk melihat sendiri relau yang ditemukan,” katanya – utusan online