KAMPAR – Seorang pelajar lelaki tingkatan satu ditahan bagi membantu siasatan kes sumbang mahram hingga menyebabkan kelahiran seorang bayi, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 3.30 petang itu, kakak remaja berkenaan, berusia 15 tahun dilaporkan melahirkan seorang bayi perempuan di tandas rumah mereka di Taman Diawan, di sini.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, siasatan awal mendapati, remaja lelaki yang masih bersekolah itu telah melakukan hubungan seks beberapa kali dengan kakaknya di bilik belakang rumah.

“Kakaknya telah berhenti sekolah sejak di tingkatan dua lagi dan dia tidak mengetahui sedang mengandung kerana tidak mengalami sebarang alahan, keadaan fizikalnya juga tidak disedari ahli keluarga lain.

“Ketika kejadian, mangsa pergi ke tandas untuk membuang air besar tanpa menyedari keluar seorang bayi. Mangsa kemudiannya menjerit memanggil ibunya yang kebetulan berada di dapur untuk memaklumkan kejadian,” katanya.

Beliau berkata, remaja lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Katanya, bayi dianggarkan berusia tujuh bulan itu kini dalam pemerhatian pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh selepas disyaki mengalami kecederaan di bahagian kepala akibat terhentak di mangkuk tandas.

“Remaja perempuan terbabit dilaporkan kehilangan banyak darah dan sedang dirawat di hospital sama,” katanya – sinar