Johor Bahru: Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di Taman Desa Cemerlang, Ulu Tiram, pada jam 1.45 pagi semalam, kerana mengajak orang ramai berhimpun secara haram di Dataran Bandaraya, Sabtu ini.

Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, remaja itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, tangkapan itu susulan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berhubung satu kenyataan di laman sosial yang mengajak remaja berbasikal berhimpun secara haram di Dataran Bandaraya sebelum menghadap Sultan Johor.

“Kami turut merampas satu telefon bimbit Galaxy Note 2 yang dipercayai digunakan untuk memuat naik status berkenaan.

“Jika sabit kesalahan remaja itu boleh didenda sehingga RM50,000atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas disabitkan.

“Kami menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan kenyataan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan sedemikian rupa,” katanya.

-myMetro