Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAIPING: Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditemui maut dalam keadaan tertiarap dipercayai terjatuh dari tingkat empat bangunan pasaraya di sini, pada malam Isnin.

Mangsa, Aldrich Wong Ping Hooi,18, ditemui maut dengan kesan darah di bahagian kanan muka di atas jalan di tepi bangunan pasaraya tersebut dan disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata pihak polis menerima maklumat mengenai insiden yang berlaku sekitar 10 malam itu daripada orang awam yang memberitahu seorang lelaki telah terjun daripada bangunan pasaraya itu.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dalam keadaan tertiarap, dengan kesan darah di bahagian kanan muka serta kesan melecet di betis kiri dan paha kanan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa telah terjun dari tingkat empat bangunan tersebut,berdasarkan kereta milik mangsa yang ditinggalkan di tempat parkir kereta.

“Mangsa, kemudian telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Taiping bagi bedah siasat,”katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Mohamad Taib berkata bedah siasat yang dijalankan kemudian mendapati punca kematian adalah disebabkan patah tulang leher dan belakang akibat jatuh dari tempat tinggi.