SUNGAI SIPUT: Seorang remaja perempuan berusia 18 tahun menemui ajal selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 30 Jalan Ipoh – Kuala Kangsar, di sini, pada petang Selasa.

Mangsa, yang cedera parah di beberapa bahagian badan maut ketika menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada malam hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Rozeni Ismail mengesahkan laporan tersebut ketika dihubungi Suara Perak pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa datang dari arah pekan Sungai Siput dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang terbabas selepas melanggar tiang lampu.

“Kereta dipandu seorang wanita berusia 57 tahun yang sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar ke Ipoh. Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, kereta tersebut hilang kawalan dan melanggar sebatang tiang lampu.
“Perlanggaran itu menyebabkan kereta tersebut masuk ke laluan bertentangan dan kemudian merempuh sebuah motosikal ditunggang mangsa.
“Rempuhan itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan dibawa ke Hospital Sungai Siput untuk terima rawatan.
“Melihatkan keadaan mangsa semakin kritikal, remaja itu dirujuk ke Hospital Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi pada petang Rabu.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.05 malam kelmarin dan punca kejadian masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.