JITRA: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditahan polis Selasa lalu kerana disyaki merogol teman wanitanya berusia 13 tahun sehingga hamil hampir tujuh bulan.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata suspek yang masih menuntut di sebuah pusat kemahiran di daerah ini dikatakan tinggal di kawasan perumahan sama dengan mangsa.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan seorang doktor wanita dari sebuah klinik kesihatan di Bukit Kayu Hitam pada jam 3.45 petang memaklumkan membuat pemeriksaan terhadap seorang gadis yang hamil 26 minggu.

Katanya, pemeriksaan kesihatan ke atas mangsa yang tidak bersekolah mendapati kandungannya dalam keadaan baik.

“Mangsa dikatakan datang ke klinik itu bersama keluarga dan teman lelakinya untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Bagaimanapun, doktor yang merawatnya mengesyaki sesuatu mencurigakan kemudian menghubungi Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk makluman dan merujuk pesakit ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk tindakan lanjut;” katanya pada Majlis Sambutan hari Polis ke 211 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil maklumat daripada mangsa, dia mengandung hasil hubungan seks dengan teman lelakinya yang dikenali sejak tiga tahun lalu.

“Berikutan itu, polis menahan suspek lelaki pada hari laporan diterima dan direman lima hari sehingga hari ini dan akan disambung reman untuk membantu siasatan.

Mohd Ismail berkata, suspek kini ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol bawah umur – berita harian