AMPANG: Seorang remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas dua tuduhan iaitu menyakitkan kucing dan melakukan khianat membakar lori sehingga mengakibatkan kerugian kira-kira RM6,000, minggu lalu.

Tertuduh berusia 14 tahun lapan bulan yang juga pelajar sekolah menengah itu membuat pengakuan tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof.

Mahkamah memerintahkan remaja lelaki itu dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani pemeriksaan mental selama 30 hari.

Prosiding kes itu dijalankan secara tertutup kerana membabitkan kes juvana dan hanya keluarga tertuduh dibenarkan masuk ke mahkamah.

Mengikut tuduhan pertama, remaja itu didakwa dengan kejam mengakibatkan kesakitan atau penderitaan tidak sepatutnya terhadap seekor kucing, di tepi Jalan Lembah Maju 3/3, Taman Lembah Maju, Pandan Indah di sini pada jam 1.20 pagi hingga 2.35 pagi, 7 Mei lalu.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 29(1) (e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan dihukum mengikut Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan membakar lori jenis Daihatsu milik Maslia Yahaya, 39, sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah RM6,000.

Remaja itu didakwa melakukan kesalahan itu di tempat, masa dan tarikh sama dan jika sabit kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak memohon mahkamah untuk membenarkan tertuduh menjalani rawatan pemeriksaan mental di hospital itu kerana disyaki tertuduh tidak sempurna akal.

Ketika ditemui media selepas prosiding itu, Raihanah memaklumkan bahawa permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342(5) Kanun Prosedur Jenayah.

“Tertuduh perlu menjalani pemerhatian maksimum sebulan di hospital psikiatrik.

“Tiada jaminan ditawarkan setakat ini kerana memerlukan pemeriksaan mental tertuduh,” katanya.

Remaja itu tidak diwakili peguam bela. Mahkamah menetapkan 12 Jun depan untuk sebutan semula kes – Berita harian