AMPANG: “Hari ini masuk hari kelima Farah hilang, saya risau jika terjadi apa-apa yang tidak baik kepadanya,” kata Zuraidah, 48, ibu saudara kepada Farah Gita Saito, remaja perempuan warga Indonesia berusia 17 tahun yang dipercayai melarikan diri bersama seorang lelaki warga Bangladesh sejak Rabu lalu.

Kehilangan Farah disedari Zuraidah selepas remaja itu keluar rumah mereka di Ampang Jaya, di sini, kira-kira jam 11 pagi untuk keluar bekerja dengan membawa beg sandang dan sepasang baju.

Ibu saudaranya itu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya pada Khamis lalu selepas remaja itu tidak pulang ke rumah.


Zuraidah berkata, dia risau kerana anak saudaranya itu tidak mengenali sesiapa sebaik datang dari Indonesia ke negara ini Januari lalu.

“Sepanjang lebih dua bulan di negara ini, dia memang tidak pernah berjalan berseorangan dan tidak tahu selok-belok jalan.

“Saya bimbang keselamatannya dan risau jika terjadi apa-apa kepadanya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Zuraidah berkata, mereka sekeluarga sudah mencarinya di sekitar Ampang termasuk bertanya orang ramai, tetapi setakat ini tiada siapa pernah melihatnya.

Sehubungan itu, dia merayu orang ramai yang pernah melihat Farah untuk menyalurkan maklumat kepada polis untuk tindakan lanjut – berita harian