IPOH – Seorang remaja perempuan yang sedang melepaskan gian dadah antara 48 gelandangan yang diselamatkan dalam Operasi Bersepadu anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, di sekitar bandar raya ini semalam.

Pengarah JKM negeri, Rosmahwati Ishak berkata, remaja perempuan berusia 16 tahun itu dijumpai ketika sedang menghisap dadah bersama teman lelakinya yang berumur 21 tahun di Pasar Besar, di sini.

“Ketika sedang membuat pemeriksaan di sekitar bandar raya ini, pasukan kami menjumpai sekumpulan remaja yang sedang menghisap dadah, bagaimanapun tiga rakannya melarikan diri manakala remaja perempuan itu tidak sempat berbuat demikian kerana sedang khayal.

“Daripada saringan awal kita mendapati remaja ini sudah lama meninggalkan keluarga kandungnya untuk tinggal bersama keluarga angkat yang juga keluarga teman lelakinya sejak empat tahun lalu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa operasi berkenaan di sini.

Turut bersama melakukan tinjauan dan pemeriksaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Datuk Rusnah Kassim. – Bernama