SEKINCHAN: Seorang remaja lelaki lemas ketika bermandi-manda bersama rakan di Tali Air 7, Sungai Labu di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata terdahulu mangsa, Muhammad Shahniq Abdul Latiff, 16, dan tiga rakannya dikatakan berada di sekitar kawasan terbabit kira-kira jam 3.20 petang.

“Ketika kejadian, mereka sedang mandi sebelum seorang daripadanya terdengar jeritan meminta tolong oleh mangsa yang kemudian tenggelam,” katanya.

Sebaik menerima panggilan kecemasan, beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sekinchan bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Mayat mangsa kemudian dijumpai di bawah rimbunan kangkung berhampiran lokasi lemas pada jam 6.30 petang,” katanya.

Katanya, mayat mangsa yang berasal dari Sungai Besar dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), Sabak Bernam, untuk bedah siasat – berita harian