KUALA NERUS: Seorang remaja lelaki ditahan selepas disyaki memiliki pistol palsu yang disembunyikan di sebuah kilang bata dekat Kampung Gong Kepas Dalam, Kampung Raja, Besut, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi, berkata suspek berusia 19 tahun itu ditahan pada jam 7.10 malam dalam operasi khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut bagi menangani isu penyalahgunaan dadah.

Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas remaja terbabit membawa pasukan ke sebuah kilang bata usang.

“Ketika berada di kilang terbabit, suspek menunjukkan bungkusan yang disembunyikan di bawah timbunan kayu sebelum polis menemui sepucuk pistol palsu berwarna hitam bertulisan HK USP.45 AUTO.

“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu unit kelopak peluru dan dua butir bebola besi berwarna perak sebelum merampasnya.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, remaja itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan pistol terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971 – berita harian