TAIPING: Seorang remaja lelaki ditemui mati dalam keadaan terlentang dipercayai terjatuh dari tingkat enam sebuah kompleks membeli belah, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.25 malam itu, mangsa, Lee Horng Chin Hang Sew Chun, 18, dari Jalan Sultan Pokok Assam, di sini, turut mengalami kecederaan teruk di beberapa bahagian anggota badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian, pihak polis turut menemui dua bilah pisau berada berada di bawah tangan kanan manakala sebilah lagi berhampiran mayat mangsa.

Menurutnya, melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mangsa dipercayai naik ke tingkat enam pasar raya berkenaan dengan menaiki sebuah kereta jenis Suzuki Swift.

“Kemudian mangsa masuk ke dalam pasar raya dipercayai membeli dua bilah pisau berkenaan.

“Tidak lama kemudian, mangsa telah memanjat tembok di tempat letak kereta menggunakan kerusi sebelum jatuh ke bawah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Razlam berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

“Daripada laporan bedah siasat, kematian mangsa berpunca daripada berbagai kecederaan disebabkan terjatuh dari tempat tinggi.

“Sehingga kini siasatan masih lagi diteruskan bagi mengenalpasti punca kejadian.

“Bagaimanapun daripada siasatan yang dilakukan, pihak polis mendapati kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah,” katanya.

 

-Sinar Harian