REMAJA lelaki maut, manakala bapanya cedera selepas kereta dinaiki mereka merempuh tembok konkrit madrasah di Kilometer 17 Jalan Kampung Serkam Pulau, Jasin, tengah hari semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, Umar Salehuddin, 19, yang memandu kereta Proton Wira meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Bapa mangsa, Salehuddin Omar, 55, pula cedera pada bahagian bahu.

Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati mangsa bersama bapanya dalam perjalanan dari pusat bandar raya ke rumah neneknya di Kampung Serkam Pulai, di sini.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tembok konkrit Madrasah Al-Latif.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat parah di bahagian anggota badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati kemalangan itu berlaku di jalan lurus dan permukaan yang rata.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Saksi kejadian diminta menghubungi Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan berhubung Pegawai Penyiasat, Inspektor Nur Azielah Zainal Abidin bagi membantu siasatan – hmetro