SABAK BERNAM: Hasrat seorang remaja untuk menziarahi pusara abang dan datuknya menjelang Ramadan, semalam, tidak kesampaian apabila maut akibat kemalangan di simpang tiga Jalan Bumi Hijau, Kampung Banting, di sini.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang berlaku ketika Mohamad Izwan Mohd Sahib, 17, yang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Banting.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa, berkata siasatan awal mendapati mangsa dipercayai keluar dari simpang terbabit secara tiba-tiba menyebabkan kenderaannya berlanggar dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 21 tahun dari jalan utama.

“Akibat perlanggaran itu, kedua-dua penunggang terjatuh bersama motosikal masing-masing. Motosikal Mohamad Izwan juga terbakar dalam kejadian itu.

“Mohamad Izwan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ), di sini, manakala seorang lagi mangsa stabil dan masih menerima rawatan,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, rakan karib Mohamad Izwan, Muhammad Syuib A Ramlee, 17, menyifatkan arwah adalah seorang individu yang cukup disenangi.

Beliau berkata, beberapa jam sebelum kemalangan, mereka ada berjumpa pada majlis sambutan ulang tahun kelahiran penduduk kampung itu.

“Namun, saya melihat arwah tidak menjamah makanan. Apabila saya bertanya, arwah memberitahu sudah kenyang.

“Beberapa minggu lalu, Allahyarham ada menyebut ingin bertemu dengan arwah datuk dan abangnya,” katanya – Berita harian